Sekapur Sireh Seulas Pinang




Sekapur Sireh Seulas Pinang

Alhamdulillah berakhir juga marathon selama 4 bulan untuk aku menyiapkan blog "Ole Ole Terengganu Kite" ini. Seronok rasanya kerana dapat menyiapkan blog ini walaupun blog aku tidak sehebat blog peserta lain. Tetapi kepuasan dalam menyiapkan bagi memenuhi objektif penganjur mengajar aku tentang banyak perkara terutama mengenali Negeri Terengganu dengan lebih dekat lagi. Sebagai anak jati Selangor sememangnya pengetahuan aku tentang kebudayaan dan tempat-tempat menarik di Negeri Terengganu masih cetek, namun sejak aku menyertai pertandingan mencipta blog untuk Negeri Terengganu ini sedikit sebanyak memberi aku pengetahuan tentang keistimewaan Negeri Terengganu Darul Iman.

Memang sesuatu yang sangat mencabar apabila ingin membuat sebuah blog yang menarik apabila bahan untuk membuat blog ini sukar diperolehi terutama gambar-gambar yang menarik. Jarak memang membataskan untuk aku dari Kuala Lumpur ke Terengganu untuk mengambil gambar sendiri dan dijadikan bahan blog, namun sesungguhnya Internet sememangnya dunia tanpa sempadan. Ramai pelayar internet yang bebesar hati berkongsi hasil gambar mereka untuk dikongsi bersama pembaca blog aku. Terima kasih tak terhingga kepada rakan-rakan dari flickr.com dan Photobucket yang membenarkan aku menggunakan gambar mereka, bak kata mereka " Sharing is Caring".

Negeri Terengganu sememangnya sangat istimewa di hatiku. Kali pertama aku berkunjung ke Terengganu adalah 7 tahun lepas ketika melawat Pulau Redang. Aku masih ingat lagi bagaimana aku mengenali Pulau Redang melalui sebuah filem Taiwan iaitu "Summer Holiday".Filem yang memaparkan keindahan Pulau Redang benar-benar membuatkan hatiku tak sabar untuk melihat sendiri kejernihan laut dan pasir memutih di Pulau Redang. Sejak itu Terengganu menjadi destinasi wajib untuk aku datang melancong. Sejak itu juga setiap tahun aku akan berkunjung ke Pulau Redang tanpa mengenal jemu. Mungkin ikan-ikan dan batu karang di Pulau Redang pun sudah kenal muka aku.

Menjadi blogger ini juga membuatkan minda aku terbuka dengan lebih luas bagi meneroka kepelbagaian budaya di Terengganu. Mengenali adat budaya, makanan, seni bina, air terjun, pulau-pulau dan pantai-pantai di Negeri Terengganu. Banyak tempat menarik di Terengganu yang tidak aku ketahui sebelum ini dapat aku terokai dengan berkongsi pengalaman dengan blogger lain. Di kesempatan ini juga aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pembaca blog "Ole Ole Terengganu Kita", sahabat handai yang tak putus-putus menyokong aku dalam menulis blog dan kepada semua kawan-kawan blogger yang sudi berkongsi cerita, gambar dan pengalaman. Tak lupa juga kepada semua Follower blog ini!! Sayang korang semua!!

Sesungguhnya Terengganu sememangnya sebuah negeri bertuah kerana segala-galanya terdapat disini, kurniaan alam semulajadinya memayungi dari laut ke darat. Rakyatnya pula kaya dengan budi bahasa dan kegigihan mereka bekerja memang cukup aku kagumi. Bertuah dan bersyukur kerana Allah telah mengurniakan pelbagai keistimewaan kepada Negeri Darul Iman ini. Semoga Terengganu akan lebih maju dan makmur serta dirahmati oleh Allaw S.W.T. AMINNNNNNN!!!



Read more...
Category: 15 comments

Tasik Kenyir Pulau Bebas Cukai





Pengisytiharan Tasik Kenyir sebagai Zon Bebas Cukai yang dijangka pada tahun 2012 akan mengubah landskap Tasik Kenyir daripada pusat memancing dan alam sekitar kepada tempat membeli belah tersohor setanding dengan Pulau Langkawi , Pulau Tioman dan Pulau Labuan . Kerajaan Persekutuan telah meluluskan permohonan Kerajaan Negeri Terengganu untuk mewujudkan sebuah kawasan bebas cukai di tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara ini.

Menurut perancangan pihak Kerajaan Negeri Terengganu bercadang akan membina Kompleks Bebas Cukai dan Kompleks Kastam di Pulau Bayas. Selain itu kerajaaan Negeri juga akan mewujudkan rangkaian gedung yang akan menjual barangan berkualiti yang berkonsepkan jualan kilang. Status Pulau Bebas cukai ini dijangka akan menarik minat pelancong ke Tasik Kenyir yang selama ini hanya mampu menarik pelancong yang gemarkan keindahan alam semulajadi.

Diharap peruntukan sebanyak RM100juta yang disediakan untuk membangunkan prasarana pelancongan di Tasik Kenyir yang mempunyai pelbagai tarikan sedia ada seperti Taman Orkid, Santuari Kelah, Santuari Gajah, Taman Herba, Taman Burung, Taman Anggur, Taman Rama-Rama dan bakal dibina Taman Tema Air di Pulau Besar Tasik Kenyir. Di samping itu Kerajaan Negeri juga bercadang akan membina 300 unit chalet 3 hingga 5 bintang di Pulau Serindit.

Sesungguhnya kawasan Tasik Kenyir yang mempunyai 340 pulau ini sememangnya harus di beri perhatian dan di majukan bagi menambah destinasi pelancongan yang menarik di Terengganu. Ini bukan sahaja akan menjana ekonomi Negeri Terengganu sekaligus akan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Negeri Terengganu itu sendiri. Semoga Tasik Kenyir akan menjadi terkenal seperti mana Pulau Langkawi suatu hari nanti... AMINNNN!!!



Read more...

Taman Tamadun Islam





Taman Tamadun Islam - Kuala Terengganu

Berkunjung ke Terengganu tidak sah kalau tidak singgah ke Taman Tamadun Islam yang terletak di Pulau Wan Man Kuala Terengganu. Taman seluas 23 hektar ini adalah sebahagian dari projek untuk membangunkan Kuala Terengganu sebagai bandar persisir pantai yang terkenal di dunia. Taman Tamadun Islam merupakan sebuah taman yang dibina berdasarkan taman kembara interaktif monumen-monumen Islam yang terkenal dari serata dunia. Sudah tentunya Taman Tamadun Islam ini memberikan pendidikan dan hiburan berinformatif tentang destinasi-destinasi Islam dan perkembangan serta pengaruh Islam yang dari serata dunia di satukan di taman ini.




Taman Tamadun Islam ini terbahagi kepada dua zon iaitu Zon Kompleks Taman Tamadun Islam dan Zon Awam. Taman ini bukan sahaja menjadi taman tema pertama yang mengiktiraf keindahan senibina islam ianya juga menempatkan 21 replika bangunan yang berkaitan dengan sejarah Islam dari seluruh dunia. Tarikan utama Taman Tamadun Islam ini termasuklah Masjid Negara ( Malaysia ), Masjidil Haram ( Arab Saudi), Dome of Rock ( Palestin ), Al-Hambra Citadel ( Sepanyol ) dan Taj Mahal ( India ).

Selain Masjid-masjid yang terkenal di dunia dipamerkan dalam bentuk replika di sini terdapat juga Mimbar Kalyan ( Uzbekistan ), Makan Abu Nasr (Afghanistan) Mimbar Berputar Samarra ( Iraq ), Majid Mohd Ali ( Khaerah) Aleepo Citadel ( Syria), Masjid Kul Syarif ( Russia ) Mimbar Xian ( China) Masjid Besar Agadez ( Nigeria dan Masjid Besar Qairawan dari Tunisia. Semua monumen-monumen keagungan islam ini dibina dengan teliti dan menyerupai mercu tanda asal monumen tersebut.







Ikon bagi Taman Tamadun Islam di sini adalah Masjid Kristal yang menjadi lambang kebangaan rakyat negeri Terengganu. Masjid yang diperbuat daripada kaca besi dan kaca ini dibuka secara rasminya oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 8 Febuari 2008. Masjid pintar pertama di Malaysia ini berkeluasan kira-kira 2,146 meter persegi dan mempunya kemudahan Wi-FI serta dilengkapi pasarana canggih. Pada satu-satu masa masjid ini mampu menampunng sejumlah 700 orang jemaah . Masjid ini juga menyediakan kemudahan internet dan pengunjung boleh membaca Al-Quran elektronik yang disediakan pihak masjid.


Untuk tempahan sila hubungi : +609-6278888 or email sales@tti.com.my


Read more...

Pantai Kemasik





Pantai Kemasik

Pantai Kemasik mendapat nama dari Sungai Kemasik yang mana muara Sungai Kemasik ini menganjur ke pantai yang terletak di Laut China Selatan. Pasir pantainya yang kuning keemasan, angin laut menderu dan laut yang membiru sungguh memberi ketenangan kepada pengunjung pantai ini. Apabila air laut surut terbentuk alur Sungai Kemasik yang mengalir menuju ke laut dan terdapat bongkah batu kecil berhampiran muara sungai ini yang terbentuk secara semualajadi akibat hakisan. Bongkah batu unik ini sudah semestinya menjadi fokus utama mereka yang membawa kamera untuk mengambil gambar. Bongkah batu ini seolah-olah menjadi mercu tanda kelainan yang terdapat di Pantai Kemasik ini.





Muara Sungai Kemasik ini juga menjadi tempat pendaratan bot-bot nelayan yang unik dan berwarna warni menambah seri pemandangan indah sekitar pantai ini. Nelayan-nelayan disini akan membawa naik hasil tangkapan laut dan dijual kepada orang ramai yang berkunjung ke sini. Pantai Kemasik ini memang terkenal di kalangan penduduk tempatan sebagai tempat riadah mereka di waktu petang. Pengunjung juga boleh mendirikan khemah dan berkelah di pantai ini. Pelbagai jenis kemudahan untuk orang ramai juga di sediakan oleh pihak berkuasa tempatan. Terdapat taman mini dan taman pemainan kanak-kanak membolehkan kawasan pantai ini sesuai menjadi tempat riadah keluarga. Kanak-kanak juga boleh bermain layang-layang disini memandangkan angin laut agak kuat bertipu ke darat.




Pada waktu petang pula biasanya sekitar Pantai Kemasik ini menjadi tumpuan anak muda tempatan datang untuk bermain bola tampar pantai dan bermain bola sepak pantai. Bagi mereka yang ingin menjamu selera terdapat juga beberapa buah gerai yang didirikan penduduk tempatan menjual pelbagai makanan ringan seperti keropok lekor, mee goreng, nasi lemak dan sebagainya.



Arah untuk sampai ke Pantai Temasik ini adalah apabila perjalanan dari Kuantan ke Kuala Terengganu, sampai sahaja di sempadan Negeri Terengganu dan Negeri Pahang anda akan melalui Pekan Kemaman dan menuju terus ke Pekan Kijal. Apabila sampai di Awana Kijal Beach Golf & Spa Resort tuju ke depan lagi kira-kira 3 minit memandu dan anda akan nampak papan tanda "Pantai Kemasik" dan belok ke kanan terus ke Pantai Kemasik.


Awana Kijal Golf, Beach and Spa Resort
KM28, Jalan Kemaman-Dungun
24100 Kijal, Kemaman
Terengganu Darul Iman, Malaysia.
Telephone: (609) 864 1188
Fax: (609) 864 1688


Read more...

Festival Tanglung - Kg Cina



Festival Tanglung 2010 - Kampung Cina

Bermula pada 12 September 2010 yang lalu Festival Tanglung 2010 peringkat Negeri Terengganu telah di adakan di Dataran Berkembar- Tapak Warisan Kampung Cina Kuala Terengganu. Festival yang berjaya menarik beribu-ribu pengunjung dari pelbagai kaum datang untuk menyaksikan pelbagai aktiviti pelancongan yang telah di adakan oleh pihak penganjur. Antara aktiviti yang diadakan adalah acara melepaskan Tanglung 'Kong Ming Deng' atau Tanglung Terbang, persembahan hiburan, perarakkan Tanlung dan pertandingan fotografi.



Kerajaan Negeri Terengganu telah menyediakan Dataran Berkembar yang terletak di Tapak Warisan Kampung Cina bagi menarik pelancong agar mengenali kepelbagaian budaya dalam masyarakat di Terengganu. Kampung Cina yang kaya dengan cara hidup dan adat resam pelbagai kaum ini menjadikan ia satu tempat yang mesti dikunjungi oleh setiap pelancong yang datang melawat Terengganu. Berhampiran Kampung Cina ini juga terdapat sungai yang diterangi cahaya bergelapan membolehkan pengunjung menyusuri Sungai Terengganu menggunakan bot yang disediakan. Festival Tanglung ini juga diadakan bagi mewujudkan semangat Satu Malaysia di antara kaum dan boleh memupuk semangat cintakan budaya kaum lain sekaligus menerapkan semangat perpaduan serta kenegaraan yang kuat sesama rakyat. Kaum lain juga dapat mengenali budaya kaum lain dengan lebih dekat lagi.



Pesta Tanglung biasanya juga dikenali sebagai Perayaan Kuih Bulan yang mana akan disambut pada hari ke-15 pada bulan ke-8 pada kalendar Cina iaitu antara akhir bulan Ogos atau akhir bulan September. Pada waktu ini biasanya bulan akan mengambang dan terang menjadikan ianya waktu yang sesuai untuk meraihkan perayaan ini. Kuih bulan pula adalah hidangan tradisional masyarakat Cina yang diperbuat daripada adunan manisan yang berintikan kacang merah, bijih teratai atau kuning telur masin. Mengikut lagendanya pada era zaman Dinasti Mongol dahulu pesanan atau kod peperangan untuk memberontak disebarkan melalui surat yang diletakkan di dalam Kuih Bulan ini dan akhirnya strategi pemberontakan ini berjaya menumbangkan Dinasti Mongol. Bagi masyarakat Islam di Malaysia yang ingin menikmati kuih bulan tidak peru risau kerana terdapat kuih bulan yang disahkan Halal oleh JAKIM.

Antara lain penggunaan Tanglung "Kong Ming Deng" atau Tanglung Terbang ini digunakkan bagi memberi isyarat peperangan semasa pemberontakkan tersebut. Sehingga ke hari ini masyarakt Cina akan menerbangkan beratus-ratus Tanglung Kong Ming Deng ini ke udara dengan menulis hajat mereka di tanglung tersebut dan berdoa akan dimakbulkan.


Tanglung Terbang



Read more...

Hutan Lipur Besul



Hutan Lipur Besul - Dungun Terengganu

Hutan Lipur Besul adalah hutan simpan yang terletak di Daerah Dungun. Hutan berbukit ini terkenal dengan pelbagai jenis kayu balak yang tumbuh secara semulajadi. Hutan Simpan ini menyimpan khazanah hutan paling berharga seperti kayu Meranti dan spesis kayu Kerungin yang harganya boleh mencecah USD1500 hingga USD3000 sebatang menjadikan hutan simpan Besul ini adalah hutan rekreasi yang paling mahal dan berharga yang di jaga dan diselia oleh Jabatan Perhutanan Malaysia.





Hutan Lipur Besul adalah sebuah hutan rekreasi yang unik dan hutan semulajadi ini terletak berhampiran bandar iaitu kira-kira 10Km dari Bandar Dungun dan 105KM dari Kuala Terengganu. Banyak kemudahan yang disediakan oleh pihak yang perhutanan seperti pondok rehat, tandas, tapak perkhemahan dan denai hutan. Pengunjung juga boleh melakukkan aktiviti seperti manda-manda, berkelah,berkhemah dan menjejak denai hutan sambil menghirup udara segar yang menyamankan dan menenangkan minda. Jika bernasib baik pengunjung boleh melihat hidupan liar yang hidup bebas di dalam hutan jika menyusuri denai yang disediakan.

Kebanyakkan pengunjung di sini lebih gemar berkelah di Hutan Rekreasi Chemerung berdekatan yang terdapat air terjun setinggi 300 Meter yang dilihat seolah-olah tangga menunju ke langit. Sesiapa yang ingin berkhemah atau menyusuri denai sila mendaftar atau mendapat kebenaran dari pihak berkuasa perhutanan terlebih dahulu.




Pegawai Hutan Daerah
Pejabat Hutan Daerah Terengganu Selatan,
23000 Dungun,Terengganu.
Tel. : 09-8441404

Read more...

Pura Tanjung Sabtu




Pura Tanjung Sabtu

Pura Tanjung Sabtu adalah sebuah tempat yang harus dikunjungi jika datang melawat Terengganu. Kompleks rumah dan istana tradisional Terengganu ini berusia 200 tahun ini diperbuat daripada kayu cengal dan tidak menggunakan sebatang paku untuk mengukuhkan struktur binaanya. Pura yang bermaksud istana ini sekarang ini dimiliki oleh Tengku Ismail Tengku Su dan menjadi homestay yang terletak kira-kira 14KM Utara Kuala Terengganu.




Pura Tanjung Sabtu ini di bina dengan rekabentuk tersendiri yang banyak mempamerkan ciri-ciri tradisonal senibina rumah Melayu lama dari kurun ke-19 lagi. Tinggi rumah yang dibina adalah lebih kurang 3 meter dari aras tanah adalah untuk sistem pengudaraan yang nyaman, melindungi dari binatang buas dan jika banjir berlaku rumah masih dapat diduduki untuk perlindungan. Pura Tanjung Sabtu yang berkeluasan kira-kira 14 ekar di kelilingi oleh taman, dusun buah-buahan dan halaman yang sangat mendamaikan suasana.




Pengunjung juga boleh berehat-rehat di beranda atau serambi yang terbuka. Meja dan kerusi yang terletak sini dan serambi Pura Tanjung Sabtu ini diukir indah mempamerkan kehalusan dan ketelitian seni yang diwarisi oleh orang Melayu dari generasi ke generasi . Terdapat Sungai Nerus berhampiran Pura Tanjung Sabtu ini dan sesiapa yang ingin memancing ikan air tawar atau menangkap udang galah bolehlah mencuba nasib di sini. Pengunjung juga boleh bersiar-siar dengan bot disepanjang Sungai Nerus bagi menyaksikan kehidupan dan alam semulajadi disepanjang sungai ini. Sesiapa yang berminat bolehlah menghubungi alamat di bawah untuk keterangan lanjut.


Pura Tanjung Sabtu
5728, Kampung Tanjung SabtuMukim Manir
21200 Kuala Terengganu
Terengganu, Malaysia.
Tel: 609-6153655
Fax: 609-6155013
Mobile: 6019-9833365
Tengku Ismail bin Tengku Su

Read more...

Perbadanan Kraftangan Malaysia - Terengganu




Perbadanan Kraftangan Malaysia - Terengganu

Kraftangan adalah satu seni yang mempunyai daya tarikan dalam kebudayaan atau tradisional dan dihasilkan melalui sesuatu proses yang bergantung kepada kemahiran tangan dan daya kreatif seseorang itu menghasilkan satu produk yang menarik. Kraftangan juga adalah hasil kerja bagi menghasilkan peralatan atau perhiasan yang menggunakan perkakasan ringkas bagi menghasilkan produk kraftangan. Seni kraftangan ini mempunyai keistimewaan masing-masing dan seni ini haruslah dipelajari supaya daya kreatif ini dapat di warisi zaman ke zaman.





Menyedari kepentingan seni kraftangan ini harus diteruskan serta diusahakan dan diminati oleh masyarakat, Perbadanan Kraftangan Malaysia cawangan Terengganu memainkan peranannya sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawap mempromosikan dan memasarkan barangan kraftangan ini di pasaran tempatan dan luar negeri.

Kompleks ini dibina pada tahun 1989 dan dibina di atas tanah seluar 4 ekar menyediakan pelbagai kemudahan bagi pengunjung untuk membeli barangan kraftangan yang dijual dan dipamerkan di sini. Antara bidang kraf yang ditawarkan di sini adalah hasil tesktil seperti batik dan songket, seni logam dan hasil rimba. Antara aktiviti utama Perbadanan Kraftangan Malaysia Terengganu adalah membangunkan rekaan dan produk kraftangan, membuat kajian teknologi yang dapat memudahkan kerja kraftangan dan membangunan standard iaitu memberi khidmat piawaian kraf tu bagi mengawal mutu kraftangan itu sendiri.




Pada 27 Oktober ini Perbadanan Kraftangan Malaysia yang terletak di Chendering ini akan mengadakan promosi kraf peringkat negeri selama lima hari. Program ini adalah bertujuaan untuk memberi peluang kepada usahawan kraft memasarkan produk mereka kepada pasaran yang lebih luas. Promosi yang melibatkan 80 usahawan ini bergabung bagi menjayakan pameran kraftangan seperti songket, batik, tembaga, anyaman dan ukiran yang sememangnya senonim dengan imej Negeri Terengganu. Untuk tidak melupakan kraftangan negeri lain seperti Perak, Sarawak yang juga terkenal dengan hasil kraftangannya pameran ini turut menyediakan ruang untuk mereka memperkenalkan hasil kraftangan mereka. Ini bukan sahaja akan memberi pendedahan kepada produk yang tidak ada di Terengganu ia juga dapat memberi peluang untuk rakyat Terengganu mengenali hasil kraf negeri lain. Perbadanan ini menjangka dapat menarik 20,000 pengunjung sepanjang 5 hari promosi ini berlansung. Jom ramai-ramai pakat tengok nak!!

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia
Cawangan Terengganu
Lot 2195 Kaw. Perindustrian Chendering
Peti Surat 69, 20700 Kuala Terengganu.
Tel. 09 – 6171033 / 6171034 / 6175239
Fax. 09 – 6172381
E-mel: pkterengganu@kraftangan.gov.my


Read more...

Permainan Wau di Terengganu




Permainan Wau di Terengganu

Permainan wau adalah permainan tradisional rakyat pantai timur terutama di Terengganu. Tidak seperti permainan rakyat yang lain, permainan wau ini biasanya dimainkan mengikut musim. Biasanya permainana wau akan dimainkan selepas musim menuai atau berangin. Biasanya wau di mainkan di kawasan lapang bagi memudahkan pengendalian layang-layang kebanggan rakyat Malaysia yang sememangnya unik lain daripada yang lain.




Terdapat mitos berkenaan dengan permainan wau ini dengan semangat padi. Pada suatu masa dahulu terdapat sepasang suami ister yang berkerja dengan menanam padi tetapi pasangan ini tidak dikurniakan cahaya mata. Pada suatu hari mereka telah menjumpai bayi perempuan yang sangat comel dan elok paras rupanya. Pasangan ini menjaga bayi tersebut sehingga besar dan menjadi anak gadis yang sangat jelita. Oleh kerana kecantikkannya itu pelbagai fitnah dan tomahan telah dilemparkan kepada gadis tersebut sehinggalah satu hari gadis malang ini telah di pukul oleh pasangan petani ini dah dihalau dari kampung. Sejak itu tanaman padi mereka tidak menjadi dan setelah di tilik oleh ahli nujum, ahli nujum ini mencadangkan agar mereka menerbangkan wau berbentuk bulan untuk mengembalikan semangat padi yang telah hilang angkara fitnah. Sejak itu aktiviti permainan wau sentiasa dimainkan untuk mengembalikan semangat padi, ini membolehkan tanaman mereka hidup subur dan mengeluarkan hasil yang banyak.




Terdapat pelbagai jenis wau yang biasanya di hasilkan di Terengganu iaitu Wau Bulan, Wau Kucing dan Wau Burung. Masing-masing mempunyai bentuk yang tersendiri. Terdapat dua cara permaian wau iaitu sekadar hiburan ataupun permainan diadakan untuk pertandingan. Permarkahan dalam pertandingan wau biasanya akan mengambil kira berdasarakan ketinggian wau yang mampu dinaikkan, kemahiran peserta menaikkan wau, bunyi yang dihasilkan dan corak wau yang unik dan menarik juga diambil kira.


Cara untuk menaikkan wau pula perlu dilakukkan oleh dua orang yang dikenali sebagai juruanjung dan jurumain tali. Juruanjung akan memegang tali dan jurumain tali akan memegang wau iaitu kira-kira 15meter-30meter dari juruanjung tadi. Wau perlu seimbang untuk menyempurnakan proses menaikkan wau. Apabila wau sudah dinaikkan juruanjung tali perlu di hulurkan sedikit demi sedikit hingga mencapai ketinggian maksimum ke udara. Apabila puas hati dengan ketinggian yang dikehendaki juru anjung akan mengikat tali wau di mana-mana pangkal pokok dan meninggalkannya untuk menikmati kemerduan bunyi wau yang di tiup angin. Di Terengganu pertandingan wau biasanya di adakan di Kampung Bukit Tumbuh di daerah Jerteh Terengganu. Di harap permainan tradisional ini dapat dikekalkan dan dipromosikan agar ianya kekal sebagai warisan kita zaman berzaman.


Read more...

Rumah Terbuka Hari Raya




SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Rasanya belum terlambat untuk aku mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca blog aku. Hari Raya Aidilfitri sudah tentu menjadi hari di mana semua kawan-kawan dan sanak saudara berkumpul dan berkunjung-kunjungan serta bermaaf-maafkan bersama. Pada awal Syawal biasanya anak-anak akan pulang ke kampung halaman untuk beraya bersama ayah ibu tercinta. Kemeriah sambutan hari raya di kampung-kampung dapat dirasai terutama di Terengganu. Penduduk memasang pelita di halaman rumah menjadikan suasana hari raya di kampung lebih nostalgia dan mengambit kenangan raya semasa zaman kanak-kanak dahulu.





Sudah menjadi tradisi juga perayaan hidangan utama di Hari Raya Aidilfitri sudah tentunya ketupat dan rendang. Ketupat palas, ketupat daun kelapa, rendang ayam dan rendang daging menjadi juadah wajib di setiap rumah pada hari raya. Selain ketupat dan rendang juadah yang menjadi satu kemestian adalah tapai beras pulut. Tapai pulut berbalut daun getah popular di Terengganu sebagai juadah hari raya yang manis sebagai pencuci mulut.





Hari Raya Aidilfitri di negara kita sudah melalui perubahan di mana sepanjang bulan Syawal kita masih menyambutnya dengan mengadakan rumah-rumah terbuka di hujung minggu. Rumah terbuka biasanya di buat oleh penduduk yang tinggal di bandar-bandar baru meraihkan kenalan dan sahabat handai untuk sama-sama berhimpun dan bermaaf-maafan. Kepada adik-adik jangan lupa duit raya masih boleh dikutip sehingga 30 Syawal.

SELAMAT HARI RAYA!! MAAF ZAHIR & BATIN!!

Read more...

Peladang Setiu Agro Tourism & Resort




Peladang Setiu Agro Tourism & Resort

Peladang Setiu Agro Tourism & Resort satu-satunya tempat pelancongan yang berkonsepkan perladangan yang berjaya menarik minat ramai pelancong yang ingin mencari kelainan dalam percutian mereka. Resort ini dibina dengan kemudahan lengkap seperti kem latihan, kolam ikan air tawar, kawasan perkhemahan dan kawasan luas untuk membuat aktiviti luar. Resort ini juga sering menjadi pilihan pihak kerajaan dan sektor swasta untuk mengadakan seminar , aktiviti perkhemahan dan kem motivasi.




Terdapat 58 chalet yang dikelilingi ladang kelapa sawit dan dusun buah-buahan seperti durian,rambutan, langsat, manggis dan sebagainya. Apa yang menariknya dusun buah-buahan di sini tidak menggunakan racun kimia, pengunjung boleh memetik dan merasai buah-buahan ini segar dari pokok. Pelbagai aktiviti boleh dilakukkan di resort ini seperti berkayak, mendayung sampan dan memancing ikan air tawar. Terdapat danau kolam air tawar yang disediakan pihak resort dan jika pengunjung bertuah boleh menaikkan pelbagai jenis ikan air tawar seperti talapia, keli, kaloi, patin dan sebagainya. Kepada sesiapa yang meminati sukan memanah terdapat juga kemudahan untuk aktiviti memanah disediakan pihak resort.




Setiu Agro Tourism & Resort ini mempunyai 32 bilik standard, 20 bilik special standard, 3 deluxe dan 1 deluxe family, 1 deluxe VIP dan 1 VIP suite. Harga bilik antara RM100 dan RM350 semalam. Resort ini juga menyediakan package seminar atau mesyuarat yang mampu menampung 200 peserta pada satu-satu masa. Bilik seminar ini dilengkapi dengan sistem projector, penghawa dingin, whiteboard dan pelbagai peralatan yang diperlukan bagi sesiapa yang ingin mengadakan seminar di sini.





Resort ini juga menyediakan restoran yang menyediakan makanan tempatan dan pelbagai makanan kegemaran untuk memenuhi semua citarasa pelanggan. Setelah mengisi perut membuka selera pengunjung boleh melakukan aktiviti bersiar-siar disekitar resort bagi menikmati keindahan persekitaran yang mendamaikan. Terdapat juga menara tinjau setinggi 70kaki tinggi disediakan untuk pengunjung yang ingin melihat suasana sekitar dari pandangan yang lebih tinggi. Sesiapa yang meminati aktiviti memanjang gunung dan mandi manda di terdapat juga tempat pelancongan berhampiran resort ini seperti Hutan Lipur Lata Payung dan Hutan Simpan Gunung Tebu.


Setiu Agro Resort
77A Jalan Sultan Sulaiman,
20000 Kuala Terengganu, Terengganu, Malaysia.
Phone: 09-6262020 (8 lines).
Fax: 09-6262022E-mail: patrvl@tm.net.my


Read more...

Kolam Air Panas La



Hot Springs La - Felda Tenang Besut Terengganu

Pusat Rekreasi Kolam Air Panas La terletak di Hulu Besut Terengganu telah dubuka pada penghujung tahun 1992 memang terkenal dengan destinasi riadah hujung minggu kepada penduduk sekitar dan pengunjung dari luar untuk merasai kenikmatan air hangat yang dikatakan boleh mengubat penyakit kulit. Kolam air panas disediakan bagi menangkung air panas semulajadi yang keluar dari perut bumi yang kaya dengan belerang dan suhu air disitu mencecah lebih 49 darjah Celsius. Air hangat yang kaya dengan sulfur dipercayai dapat memberikan pelbagai kebaikan kepada kesihatan tubuh terutama kepada mereka yang menghadapi masalah kulit dan saraf.






Terdapat kolam sampingan yang dibina oleh Majlis Daerah Besut bagi mengurangkan kesesakkkan orang berkumpul di kolam utama yang hanya seluas empat meter persegi luas sekaligus memberi peluang kepada pengunjung untuk berendam dan merasai kenikmatan kehangatan kolam air panas dengan lebih selesa dan tidak bersesak. Keindahan alam semulajadi kawasan air panas ini juga memberi kedamaian dan ketenangan kepada pengunjung. Terdapat sebatang sungai yang dinamakan Sungai Ping yang mengalir jernih dan air sejuk sungai menambah tarikan pengunjung ke tempat ini untuk mandi manda di sungai bersama keluarga.



Kolam Air Panas La ini terletak di kaki Gunung Tebu yang terkenal sebagi destinasi kembara kepada penggemar aktiviti lasak seperti memanjat gunung dan meredah hutan. Pelbagai aktiviti juga boleh di lakukkan di sini seperti aktviti perkhemahan. Kemudahan awam seperti tandas, bilik persalinan dan tapak perkhemahan juga di sediakan di sini. Kolam Air Panas La terletak kira-kira 140KM utara Kuala Terengganu iaitu kira-kira 28KM dari bandar Jertih menuju ke Felda Tenang.


D’ Pinggiran Gunung Tebu Resort
ABDUL AZIZ JUSOH
Lata Belatan,Jabi,22020, Jertih,Terengganu, Malaysia
PERTANYAAN/RUNDINGAN HUBUNGI 012-9578075/09-6976110



Read more...
Category: 7 comments

Ukiran Kayu Seni Warisan Melayu




Seni Ukiran Kayu Warisan Melayu

Seni Ukiran Kayu adalah seni kraftangan warisan masyarakat Melayu yang tidak lapuk dek hujang tak lekang dek panas. Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum terutama Melayu telah mewujudkan kepelbagaian seni ukir kayu yang berbeza. Seni ukiran yang dipersembahkan melalui bahan kayu ini sama seperti ukiran lain cuma berbeza dari segi cara, motif dan teknik pengukirannya. Di Terengganu banyak syarikat atau orang perseorangan yang mengusahakan hasil ukiran kayu ini.



Pengusaha ukiran kayu banyak terdapat di Kampung Losong dimana ianya menjadi pusat pelancongan yang menarik di Terengganu. Hasil Seni Ukir ini terus berkembang luas kerana Terengganu merupakan negeri yang mempunyai hasil kayu-kayan yang banyak.Selain itu kayu adalah bahan alam yang sangat sesuai diukir dan dijadikan bahan yang menarik dan dijual sebagai produk pelancongan.



Terdapat pelbagai ukiran yang menggunakan teknik dan penggunaan satu-satu teknik itu banyak bergantung pada kebolehan dan kemahiran pengukiran kayu itu sendiri. Terdapat tiga teknik utama dan gaya dalam seni ukiran Melayu iaitu tebuk separuh, tebuk timbul dan tebuk terus. Bentuk ukiran pula terdiri dari tiga jenis bentuk ukiran yang utama iaitu Bujang, Lengkap dan Pemidang.



Jenis bentuk Bujang adalah ukiran yang berbentuk bebas, tidak terikat, berkait atau bersambung-sambung. Biasanya jenis ukiran Bujang ini menampilkan motif bulan, bintang, matahari, kuntum bunga atau putik buah. Sementara jenis bentuk pemidang pula jenis ukiran yang menampilkan motif yang menggambarkan pergerakkan yang sederhana tidak rumit atau berbelit-belit. Apa yang menarik ukiran ini mempunyai namanya tersendiri seperti itik pulang petang, badak mudik, setapuk manggis dan sebagainya. Ukiran jenis ini biasanya digunakan untuk jala-jala rumah, almari dan hiasan. Jenis ukiran Bentuk Lengkap pula adalah gabungan ciri-ciri Bujang dan Pemidang iaitu jenis ukiran ini menitikberatkan unsur-unsur tumbuh-tumbuhan, akar, batang, buah, putik dan daun pokok.



Ukiran kayu memerlukan peralatan khas untuk mengukir dan memahat hasil seni ini. Alat-alat yang digunakan seperti gergaji, ketam, tukul besi dan paling penting adalah pahat. Pelbagai motif ukiran Melayu digunakan seperti motif haiwan, motif angkasa menerapkan gambaran awam larat seperti bintang matahari, bukit bukau dan bulan. Sementara motif geometri dan khaligrafi jawi juga biasanya menjadi pilihan pengukir dalam menghasilkan produk ukiran mereka. Seni Khat biasanya digunakan untuk hiasan di ambang pintu rumah, masjid atau surau ataupun pada rehal untuk Al-Quran.

Balai Seni Ukiran Besut
Jalan Balai Seni Alor Lintang, Kampung Raja,
22000 Besut, Terenggganu
Tel : 09-6953695


Read more...

Desa Ukiran Kayu - Besut




Desa Ukiran Kayu - Besut

Seni ukiran kayu adalah seni warisan turun temurun yang mempunyai nilai seni yang tak ternilai harganya. Menyedari pentingnya seni ini tidak hilang ditelan zaman, Kerajaan Negeri Terengganu telah membina sebuah institut latihan seni ukir yang di beri nama Desa Ukiran Kayu (DUK). Desa Ukiran Kayu terletak di daerah Besut yang telah di ilhamkan sebagai "Besut Daerah Ukiran Kayu" kerana lahirnya pengukir-pengukir tersohor lahir di Daerah Besut. Antara pengukir ternama yang berasal dari Besut adalah Che Long Bin Yusof, Tengku Ibrahim Bin Tengku Wook (Tokoh Kraf Negara 1999), Haji Wan Su Bin Othman ( Tokoh Seni Negara 1997), Abd Rahman Long, Wan Mustaffa Wan Su (Tokoh Seni Negeri Terengganu 2003) dan Norhaiza Bin Nordin.




Desa Ukiran Kayu ini telah dibina di kawasan Istana Tengku Long yang terkenal dengan seni bina yang menarik dan mengagumkan. Istana Tengku Long ini telah dibina dengan Tengku Chik Haji Bin Tengku Hitam, Raja Besut Ke-4 pada tahun 1875. Istana ini dihiasi dengan ukiran kayu yang halus seni ukirannya dan sangat menarik dan mengagumkan. Desa Ukiran Kayu yang dibina ini berkeluasan 3,500meter persegi dan terletak di kawasan Kg Raja Besut Terengganu , kira-kira 100Km dari Bandar Kuala Terengganu. Terdapat tiga jenis rumah tradisional yang dibina di Desa Ukiran Kayu ini ialah Rumah Potong Belanda, Rumah Limas Bungkus dan Rumah Bujang Berserambi Selasar. Ketiga-tiga rumah ini menjadi simbol dan contoh ukiran kayu yang diterapkan ciri-ciri ukiran melayu yang terkenal. Gaya ukiran pada kayu adalah dipengaruhi oleh faktor dan cara hidup masyarakat Melayu seperti adat, agama, persekitaran, iklim dan bentuk muka bumi. Biasanya ukiran ini berdasarkan keperluan individu dan tidak bercanggah dengan kepercayaan dan adat Melayu.




Desa Ukiran Kayu ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Usahawan menyediakan latihan kepada pelatih lepasan SPM yang terdiri dari anak watan Terengganu yang berminat mendalami seni ukir ini. DUK ini juga dipantau oleh seorang Profesor Madya Sulaiman Abd.Ghani sebagai Ketua Pengawai Eksekutif Terengganu International Design Excellence (TIDE) yang mempunyai pengalaman yang tinggi dan luas dalam bidang seni. Selain itu DUK juga menyediakan tenaga pengajar berpengalaman untuk melatih pelatih di sini. Kepada sesiapa yang berminat untuk mengikuti latihan ukiran kayu atau melawat Desa Ukiran Kayu boleh lah berkunjung dan melihat sendiri Seni Warisan Melayu yang menjadi simbol dan lambang kebangaan kita sebagai rakyat Malaysia.

Desa Ukiran Kayu Istana Tengku Long
PA1043, Pusat Kraf Jalan Tengku Long
Kg. Raja, 22200 Besut, Terengganu
No. Tel: 09-6954823/ 3823 No. Faks: 09-6958823
Alamat E-mail: vanyilla@yahoo.com


Read more...

Taman Rekreasi & Mini Zoo Kemaman



Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman

Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman menjadi produk pelancongan terbaru di Negeri Terengganu. Mini Zoo Bukit Takal ini terletak di Kemanan telah di rasmikan oleh Menteri Besar Terengganu Dato' Ahmad Said pada 11 April 2009. Mini Zoo ini adalah zoo pertama di Terengganu hasil gabungan kawasan pameran spesis haiwan, taman rekreasi air , taman tema dan kebun buah-buahan di habitat semulajadi kunang-kunang terbesar di Pantai Timur iaitu kampung Ibok. Zoo yang berkeluasan kira-kira 54hektar ini bersempadan dengan Kampung Yak Yah yang terkenal dengan kawasan habitat kunang-kunang. Mini Zoo ini mempamerkan kira-kira 100 spesis haiwan seperti harimau, gajah, buruk merak, beruang, rusa dan pelbagai haiwan lain.



Mini Zoo disini juga menyediakan pelbagai kemudahan seperti wakaf, surau, trek perjalan kaki , tandas awam dan kiosk. Antara tarikkan utama Taman Rekreasi ini adalah terdapat taman tema air yang mana orang ramai boleh bermandi manda dengan sepuas-puasnya. Terdapat juga gelongsor air yang panjang yang disediakan pihak taman ini bagi menambah aktiviti permainanan air terutama kepada kanak-kanak.



Selain taman tema air terdapat juga aktiviti yang berkonsepkan rekreasi hutan, terdapat laluan kanopi sepanjang 1.2kilometer merentasi habitat rusa di dalam hutan sekunder. Terdapat juga jambatan gantung disediakan pihak taman ini. Pengunjung tidak perlu risau atau bimbang kerana jambatan gantung ini dibina dengan ciri-ciri keselamatan yang tinggi untuk jaminan dan keselesaan pengunjung. Melalui jambatan gantung ini pengunjung boleh melihat suasana rimba dari atas dan menuju hampir ke puncak pokok-pokok hutan. Pengunjung akan menyaksikan pelbagai pokok seperti petai, jering, dan buah-buahan hidup secara semulajadi di taman ini.




Sesuai dengan pusat rekreasi zoo ini juga menyediakan pelbagai taman tema seperti Taman Herba, Taman Pokok Hutan, Taman Tropika, Taman Buah-Buahan, Taman Orkid, Taman Bonsai dan Taman Akuatik. Pada musim buah pengunjung juga boleh menikmati pelbagai buah-buahan seperti duku, langsat, manggis, rambutan dan durian di Taman Buah-Buahanya. Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman ini mengenakan yuran masuk RM10.00 bagi dewasa dan RM7.00 untuk kanak-kanak. Bagi murid sekolah berpakaian seragam pula adalah RM5.00 sahaja. Untuk pelancong asing yuran masuk yang dikenakan adalah RM15.00. Untuk kemudahan pengunjung bas khas disediakan untuk ke lokasi zoo ini melalui Awana Kijal melalui Pekan Kijal, Kampung Payoh dan Ibok. Laluan ke dua bas berkenaan pula adalah dari Stesen Bas Chukai melalui Centre Point (KCP) ke Telekom terus ke Zoo. Taman Rekreasi dan Mini Zoo ini dibuka setiap hari dar jam 10.00pagi hingga 5.00petang. Jemputlah datang beramai-ramai.


Read more...
Category: 7 comments
Related Posts with Thumbnails